Movie Review 1: Forrest Gump... "Stupid is a stupid does"

______________________________________________________
Forrest Gump...
Sebuah filem yang diadaptasi daripada hasil penulisan sebuah novel (yang ditulis sekitar tahun 1986) yang berjaya meraih rating yang tinggi sekitar tahun 1994. Filem Forrest Gump ini telah dibintangi oleh Tom Hanks sebagai peneraju utama. Filem ini turut dibintangi oleh Robin Wright, Gary Sinise, dan Sally Field.

Tom Hanks membawakan watak sebagai seorang yang mempunyai tahap IQ yang rendah berbanding manusia normal lain. Filem ini mengisahkan kehidupan Forrest yang melalui pelbagai kejadian yang begitu memberi kesan dalam hidupnya. Lahir sebagai seorang Forrest yang mempunyai kecacatan pada bahagian kaki sehingga menyebabkan dia terpaksa menggunakan alat bantuan "braces" pada kedua-dua belah kakinya, menjadikan dia kuat untuk terus menjalani kehidupan normal seperti orang lain dengan berbekalkan sokongan moral ibunya (dilakonkan oleh Sally Field).

Forrest dan ibunya semasa rawatan kaki.
Plot dalam filem ini dimulakan dengan scene objek (berkemungkinan bulu burung) yang berterbangan di udara. Scene ini mula dikembangkan apabila Forrest mendapatkan objek tersebut sewaktu dia sedang duduk di sebuah bangku bersama seorang wanita berpakaian jururawat. Melihat kepada kasut jururawat yang duduk di sampingnya, dia mula berkongsi pengalamannya ketika zaman kanak-kanak. Forrest mulakan bicaranya dengan kisah sepasang kasut ajaib.

Sewaktu kanak-kanak, Forrest telah dipakaikan dengan kasut ortopedik. Ketika itu, bukan mudah bagi Forrest untuk berjalan dengan normal, namun ibunya sentiasa ada bersamanya. Ibu Forrest tidak pernah berputus asa untuk memberi sokongan moral kepada anaknya bagi mendapatkan rawatan dan tahap pendidikan yang sama seperti kanak-kanak lain.Namun, tahap IQ Forrest yang rendah menyebabkan pengetua di sebuah sekolah progresif telah menolak permohonan ibu Forrest untuk mendaftarkan anaknya di sekolah tersebut.

 "Stupid is as stupid does...", 
pesan ibu Forrest kepadanya. 

Forrest bertemu dengan seorang gadis di dalam sebuah bas sekolah semasa perjalanan ke sekolah. Jenny (dilakonkan oleh Robin Wright), adalah seorang gadis yang sentiasa bermain di fikiran Forrest. Jenny adalah seorang wanita yang secara tidak langsung memaksa Forrest untuk menukar dirinya sendiri.

Forrest bersama Jenny.
Satu hari, apabila terdapat sekumpulan kanak-kanak lelaki nakal telah mengusik Forrest. Jenny memaksa Forrest untuk berlari dan terus berlari ke mana sahaja asalkan Forrest dapat melepaskan diri daripada kanak-kanak nakal tersebut. Pada masa itu, Forrest berlari dan berlari sehingga pendakap pada kakinya telah berkecai dan bertaburan di jalanan. Yaaa, Forrest kini mampu ber"lari" tanpa bantuan dan sokongan kasut ortopediknya lagi!

Bermula daripada kejadian itu, hidup Forrest berubah. Forrest mampu berjalan dengan baik dan berjalan dengan lebih cepat tanpa pendakap besi pada kakinya lagi. Dengan keupayaannya yang mampu berlari dengan pantas, dia telah dipindahkan ke sebuah kolej. Forrest menjadi pemain ragbi kolej kerana dia mampu berlari lebih pantas berbanding orang lain.

Selepas selesai zaman kolej, Forrest telah ditawarkan untuk menyertai pasukan tentera. Ketika di dalam bas semasa perjalanan ke kem tentera, dia bertemu dengan seorang lelaki yang bernama Bubba. Bubba menjadi rakan baik Forrest semasa di kem tentera. Walau bagaimanapun, apabila mereka dipindahkan ke Vietnam untuk menyertai sebuah peperangan, Bubba meninggal dunia. Forrest dapat menyelamatkan kaptennya, Lt Dan.

Selepas perang, Forrest dan Lt Dan dirawat di sebuah hospital tentera. Forrest telah diperkenalkan dengan permainan ping pong yang hanya memerlukan kemahiran memberikan fokus mata pada sebiji bola ping pong. Forrest kini menjadi seorang pemain ping pong yang berjaya.

Kemudian, Forrest kembali ke Alabama dan menunaikan janjinya kepada mendiang Bubba. Dia membeli sebuah kapal dan mula menjalankan aktiviti menangkap udang yang menjadi pekerjaan warisan keluarga mendiang sahabat karibnya, Bubba. Forrest dibantu oleh Lt Dan menjalankan perniagaan udang. Kemudian, sebelum Forrest mengakhiri kisah hidupnya, beliau juga memberitahu bahawa ibunya telah pergi ke syurga. Pemergian ibunya itu, telah menjadikan Forrest nekad untuk berlari dan terus berlari merentasi daerah-daerah lain di tempatnya.

Forrest sewaktu scene berlari selama tiga tahun.
Setelah hampir tiga tahun berlari, Forrest berhenti di suatu kawasan. Melihat di belakangnya, sekumpulan pelari yang turut berlari sepertinya. Menurut Tomscotting (2011), tindakan Forrest yang berlari selama beberapa tahun ini bukanlah bertujuan untuk menggambarkan kesunyian dalam hidupnya, tetapi untuk menjadikan dirinya sebagai inspirasi kepada orang lain. Setelah menghentikan larian tersebut, Forrest nekad untuk mencari Jenny. Di sini, cerita Forrest bersama beberapa orang "pendengar" yang duduk di bangku telah tamat. Forrest melangkah mendapatkan rumah Jenny yang terletak tidak jauh dari tempat duduknya itu. Apabila Forrest telah mendapatkan Jenny, dia terkejut melihat seorang kanak-kanak yang mempunyai sifat yang mirip sepertinya.

"He's the most beautiful thing I've ever seen.But... is, is he smart, or is he..." - Forrest Gump 

Sebelum mengakhiri filem ini, Forrest telah berkahwin dengan Jenny. Majlis perkahwinannya turut dihadiri oleh Lt Dan. Namun, Forrest hanya dapat bersama Jenny buat sementara waktu sahaja. Jenny kemudiannya meninggal dunia. Sekali lagi Forrest ditinggalkan oleh orang yang sangat disayanginya. Forrest kini hanya ditemani oleh Forrest Jr.

Forrest dan anaknya yang mempunyai sifat yang sama.
Bagi saya, filem ini sangat menarik dari segi penyampaiannya yang mudah. Menurut Stoda (2011), peristiwa dan adegan yang dipaparkan dalam filem ini telah disampaikan dengan lucu tetapi secara sensitif. Penyampaian cerita dengan teknik imbasan kembali kisah silam watak utama yang disampaikan sendiri oleh pelakon Tom Hanks dilihat sangat bersahaja dan mudah difahami. Watak utama telah berusaha melakukan sesuatu yang terbaik untuk dirinya dan orang yang disayanginya. Nilai-nilai persahabatan, cinta, nasionalisme, kuat semangat, yakin diri, dan saling mempercayai telah ditonjolkan dalam filem ini. Secara peribadi, kisah dalam filem ini sangat mudah difahami dan menarik.


Sumber rujukan:
Arndt, J. (n.d.). Forrest Gump. Retrieved from Synopsis: http://runforrestrun.umwblogs.org/a-synopsis/
Stoda, K. A. (2011, November 28). Eslkevin's Blog. Retrieved from Robert Zemeckis’ FORREST GUMP and American Culture and Memory: https://eslkevin.wordpress.com/2011/09/28/robert-zemeckis%E2%80%99-forrest-gump-and-american-culture-and-memory/
Tomscotting. (2011, November 25). Film Studies. Retrieved from Micro Analysis-Forrest Gump: http://tomscotting.blogspot.com/2011/11/micro-analysis-forrest-gump.html
Weekly Script. (n.d.). Retrieved from http://www.weeklyscript.com/Forrest%20gump.txt
Zemeckis, R. (Director). (June 23, 1994). Forrest Gump [Motion Picture].

Comments